Mar 23, 2009

Asam Pedas Perhentian Kuih Kampung

Kalau anda ke Melaka, semestinya anda tahu yang makanan wajib akan dicuba adalah asam pedas. Tetapi dalam banyak-banyak asam pedas yang terdapat di Melaka, saya cadangkan anda supaya mencuba asam pedas di Perhentian Kuih Kampung yang terletak di Ujong Pasir.

Hidangan asam pedas disini disediakan dalam bentuk set yang disertakan nasi putih, telur masin dan sayur taugeh. Terdapat beberapa jenis ikan bagi masakan asam pedas iaitu ikan kembong, tenggiri, parang, jenak, kepala jenak, pari, telur ikan dan juga tetel (daging dengan lemak).

Bagi saya, asam pedas disini tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair dan itu membuatkan ia boleh dinikmati oleh semua golongan. Dengan menggunakan ikan segar, semestinya anda dapat merasai keenakkan tidak terhingga dalam hidangan asam pedas yang disediakan.

Harga bagi setiap hidangan bergantung kepada jenis ikan diminta. Disini juga menjadi tumpuan bagi pengemar kuih-muih kerana terdapat lebih dari 10 jenis kuih dijual.





terletak disebelah Jalan Ujong Pasir

pelbagai jenis kuih juga boleh didapati disini



nasi putih, telur masin dan sayur taugeh

asam pedas ikan tenggiri

Mar 20, 2009

Menara Taming Sari

Menara setinggi 110 meter dan dibina dengan kos sebanyak RM23 juta ini merupakan salah satu mercu tanda pelancongan yang terdapat di negeri Melaka.

Mampu memuatkan sehingga 80 orang dan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 11 malam dengan harga tiket dewasa RM20 (pemegang MyKad RM 10) dan kanak-kanak RM10 (MyKad RM 5).

Menara tersebut dibina menggunakan kepakaran Switzerland mampu mengangkut seramai 240 penumpang dalam tempoh sejam. Berkonsepkan terbuka di mana pelantar yang membawa penumpang berada di bahagian luar dan akan naik serta berputar selama lima minit di bahagian puncak sebelum turun semula.Dengan demikian, para penumpang akan dapat menikmati pemandangan 360 darjah di sekeliling mereka.

Menara ini terletak di kawasan Taman Bunga Merdeka, Banda Hilir iaitu didalam lingkungan kawasan pelancongan dengan jarak hanya berjalan kaki.






pemandangan dari atas Menara Taming Sari


turut beroperasi pada waktu malam



Mar 18, 2009

Jus Mangga Kampung Portugis

Perkampungan Portugis di Ujong Pasir, Melaka sememangnya terkenal kepada pelancong kerana menjadi medan kebudayaan selain pusat makanan tradisional masyarakat Portugis Malaysia

Namun, ada satu lagi keistimewaan yang mampu menarik pengunjung ke sini iaitu populariti jus mangga yang dijual Joseph De Costa.

Mula menjual jus mangga segar sejak enam tahun lalu, Joseph, 64, berkata, rahsia keenakan jus mangga terletak pada pemilihan buah.

"Saya menggunakan pelbagai jenis mangga untuk menghasilkan satu cawan jus yang kemudian dicampur dengan sebiji jeruk asam," katanya ketika ditemui.

Beliau menggunakan hampir 40 kilogram mangga setiap hari, namun jumlah itu masih belum mencukupi.

"Bukan saja pengunjung dari Melaka yang datang membeli, malah dari Kedah, Johor dan Singapura pun sanggup menelefon untuk membuat tempahan," katanya.

Jus itu dijual RM2.50 secawan. Kepada yang berhajat untuk membeli dalam kuantiti yang banyak, bolehlah menghubungi Joseph terlebih dahulu bagi membuat tempahan.

Joseph De Costa / 6012-6970025



gerai jus mangga tersebut terletak di Medan selera Kampung Portugis



antara bahan utama yang digunakan

Joseph menyediakan jus mangga kepada pelanggannya

Jus mangga Kampung Portugis

"Only One Mango Juice"

*Jus mangga ini mempunyai kelazatan yang tersendiri. Saya mencadangkan 100% supaya anda mencubanya!!

Mar 8, 2009

Belacan Melaka

Sejak 20 tahun lalu, nama pantai Klebang, di sini seolah-olah sudah sinonim di kalangan pelancong dan masyarakat tempatan sebagai pusat penjualan cencaluk dan belacan, iaitu makanan tradisional Melaka yang terkenal.

Kewujudan lebih 16 gerai menjual cencaluk dan belacan bermula di Klebang Besar sehingga Tanjung Kling itu menjadikan produk tersebut sebagai bahan makanan yang 'mesti beli' sekiranya berkunjung ke kawasan itu. Jika anda ke Melaka, berkunjunglah ke pantai Klebang dan pastikan belacan Melaka dibawa pulang bersama.





belacan diperbuat daripada sejenis udang kecil yang dipanggil udang geragau

Mar 7, 2009

Berita terkini pelancongan : Teksi air tarikan terbaru Sungai Melaka

Teksi air tarikan terbaru Sungai Melaka

MELAKA 6 Mac – Penduduk Melaka termasuk pelawat luar yang datang berkunjung ke negeri ini akan menikmati kemudahan pengangkutan unik dan terbaru di Sungai Melaka apabila perkhidmatan teksi air akan beroperasi tidak lama lagi.

Perkhidmatan teksi air tersebut akan disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai negeri yang bertanggungjawab mengurus serta mentadbir perkhidmatan bot Melaka River Cruise di sungai berkenaan.

Pegawai Eksekutifnya, Baharom Majid berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan membeli sebuah teksi air yang akan beroperasi di sepanjang Sungai Melaka bermula dari Melaka Sentral hingga ke Bandar Hilir.

Menurutnya, melalui kemudahan baru itu, pihaknya berharap Sungai Melaka terus mendapat tumpuan dan menjadi salah satu destinasi utama di kalangan para pelancong asing yang datang berkunjung ke negeri ini pada setiap tahun.

‘‘Usaha memperkenalkan perkhidmatan teksi air ini bakal menjadi produk pelancongan terbaru untuk Sungai Melaka, sekali gus memperkenalkan keunikannya kepada pelancong asing,” katanya di sini hari ini.

Pada tahun ini, agensi terbabit menyasarkan kira-kira 1.8 juta pengunjung akan menaiki bot tersebut berbanding 600,000 pada tahun lepas.

Kata beliau, usaha mendapatkan lebih banyak teksi air akan dilaksanakan jika sambutan orang ramai terhadap kemudahan baru itu memberangsangkan.

‘‘Kita akan menambah teksi air tersebut dari semasa ke semasa jika menerima sambutan baik memandangkan ia merupakan pengangkutan air yang lebih laju berbanding bot Melaka River Cruise,” jelasnya lagi.

Menurut Baharom, melalui usaha itu, orang ramai kini mempunyai alternatif pengangkutan lain terutama bagi laluan dari Melaka Sentral ke Banda Hilir atau sekitar kawasan pusat bandar.

Pada masa sama, bagi mereka yang berminat untuk melihat wajah baru dan keunikan panorama senja di Sungai Melaka, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan bot Melaka River Cruise.

Katanya, dalam usaha memperindahkan lagi kawasan persekitaran Sungai Melaka, pihaknya dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan dan masyarakat turut sama memperhebatkan kempen kebersihan serta program gotong-royong di sepanjang sungai tersebut.

Berita dari UTUSAN MALAYSIA

Masjid Tengkera

Masjid kedua tertua di Melaka adalah Masjid Tengkera yang terletak di sebelah kanan Jalan Tengkera yang namanya diambil bersempena dengan nama mukim Tenquerah oleh pemerintahan Portugis di Melaka.

Bangunan asalnya dipercayai dibina sekitar tahun 1750-an dan telah dibaiki pada tahun 1850-an. Masjid ini bercirikan seni bina tradisional Melaka dan campuran seni bina Sumatera dan China.

Masjid ini mempunyai sedikit kelainan kerana mempunyai tiga lapisan bumbung iaitu bumbung beranda, bumbung ruang sembahyang dan bumbung kubah.

Di bahagian hadapan masjid ini dipagari dengan tembok batu yang dihias kekisi porselin manakala pintu gerbangnya dihiasi dengan ukiran tulisan khat dan bumbungnya berbentuk seperti pagoda.

Terdapat juga sebuah menara batu yang mempunyai bumbung tanah liat berkeliling pada bahagian bawahnya. Satu lagi masjid tertua di negeri ini adalah Masjid Peringgit.

Pada asalnya ia dibina di Bukit Peringgit pada tahun 1726, tetapi ia telah musnah akibat perlaku peperangan. Kemudiannya ia telah dibina semula pada 1868 di tempat yang sama.

Masjid ini unik kerana berbentuk empat segi ,manakala bahan binaannya terdiri daripada batu laterit dan batu-bata terra cotta yang wujud pada zaman Belanda sebagai asas dan dinding.

Pada 1978, kerajaan negeri telah membuat kerja-kerja penambahan pada bahagian belakang masjid dengan binaan konkrit yang melenyapkan tangga utama, perigi dan kolam.










Mar 5, 2009

Kelazatan ‘mi bodoh’ Melaka

Melaka yang popular dengan masakan asam pedas, mempunyai satu lagi tarikan makanan yang tidak kurang hebatnya kerana mempunyai penggemar tersendiri sejak lebih 20 tahun lalu iaitu mi goreng yang dikenali sebagai mi bodoh atau mi lambung.

Namanya agak pelik dan lucu, namun, itulah menu popular yang boleh ditemui jika anda bersarapan pagi di sebuah warung tepi jalan menuju ke Pantai Klebang dekat Kampung Lapan di sini yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi setiap hari kecuali Jumaat.

Cerita selanjutnya di Utusan Malaysia



beratur untuk mengambil telur goreng

mampu mengoreng 60 kilogram mi sehari



inilah 'mi bodoh' yang terkenal

nyum!!

Mar 3, 2009

Taman Melaka Raya

Taman Melaka Raya di Banda Hilir ataupun lebih dikenali dengan Melaka Raya, sememangnya terkenal sebagai segi tiga emas kerana ia menjadi lokasi utama institusi perbankan, pejabat-pejabat swasta, hotel dan penginapan serta pusat-pusat membeli belah.

Melaka Raya juga agak terkenal kepada para pelancong ataupun 'backpacker' yang ingin menginap di hotel bajet ataupun rumah tumpang. Lingkungan jarak perjalanan ke tempat-tempat pelancongan juga tidak terlalu jauh.

Jadi, bagi anda yang ingin ke Melaka dan mempunyai bajet yang rendah untuk menginap, saya cadangkan untuk anda ke kawasan Melaka Raya. Kerana disana anda mempunyai banyak pilihan bagi tempat penginapan yang cukup dengan wang didalam poket anda.

kawasan Melaka Raya

Mar 1, 2009

Bas Panorama Melaka

Sebanyak 10 buah bas Panorama termasuk dua bas dua tingkat yang dibawakan khas dari London telah disediakan untuk membawa pelancong mengelilingi bandar Melaka yang mengambil masa satu jam setengah hingga dua jam bergantung kepada keadaan trafik.

Bagi bas panorama dua tingkat penumpang akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 sehari dan bas panorama biasa bayaran yang dikenakan adalah RM2 sehari.

Antara laluannya ialah Hang Tuah Mall melalui Kampung Chetty, Jonker Walk, Masjid Kampung Hulu, Stadhuys, Muzium Samudera hingga ke Dataran Pahlawan, Kampung Portugis, Perigi Hang Li Poh, Bukit Cina, Melaka Sentral dan kembali ke Hang Tuah Mall.



bas panorama biasa
bas panorama dua tingkat