Mar 7, 2009

Berita terkini pelancongan : Teksi air tarikan terbaru Sungai Melaka

Teksi air tarikan terbaru Sungai Melaka

MELAKA 6 Mac – Penduduk Melaka termasuk pelawat luar yang datang berkunjung ke negeri ini akan menikmati kemudahan pengangkutan unik dan terbaru di Sungai Melaka apabila perkhidmatan teksi air akan beroperasi tidak lama lagi.

Perkhidmatan teksi air tersebut akan disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai negeri yang bertanggungjawab mengurus serta mentadbir perkhidmatan bot Melaka River Cruise di sungai berkenaan.

Pegawai Eksekutifnya, Baharom Majid berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan membeli sebuah teksi air yang akan beroperasi di sepanjang Sungai Melaka bermula dari Melaka Sentral hingga ke Bandar Hilir.

Menurutnya, melalui kemudahan baru itu, pihaknya berharap Sungai Melaka terus mendapat tumpuan dan menjadi salah satu destinasi utama di kalangan para pelancong asing yang datang berkunjung ke negeri ini pada setiap tahun.

‘‘Usaha memperkenalkan perkhidmatan teksi air ini bakal menjadi produk pelancongan terbaru untuk Sungai Melaka, sekali gus memperkenalkan keunikannya kepada pelancong asing,” katanya di sini hari ini.

Pada tahun ini, agensi terbabit menyasarkan kira-kira 1.8 juta pengunjung akan menaiki bot tersebut berbanding 600,000 pada tahun lepas.

Kata beliau, usaha mendapatkan lebih banyak teksi air akan dilaksanakan jika sambutan orang ramai terhadap kemudahan baru itu memberangsangkan.

‘‘Kita akan menambah teksi air tersebut dari semasa ke semasa jika menerima sambutan baik memandangkan ia merupakan pengangkutan air yang lebih laju berbanding bot Melaka River Cruise,” jelasnya lagi.

Menurut Baharom, melalui usaha itu, orang ramai kini mempunyai alternatif pengangkutan lain terutama bagi laluan dari Melaka Sentral ke Banda Hilir atau sekitar kawasan pusat bandar.

Pada masa sama, bagi mereka yang berminat untuk melihat wajah baru dan keunikan panorama senja di Sungai Melaka, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan bot Melaka River Cruise.

Katanya, dalam usaha memperindahkan lagi kawasan persekitaran Sungai Melaka, pihaknya dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan dan masyarakat turut sama memperhebatkan kempen kebersihan serta program gotong-royong di sepanjang sungai tersebut.

Berita dari UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment