Jul 10, 2009

A+ kepada Melaka Kota Warisan Dunia!


Oleh Zaini Hassan

SETELAH sekian lama tidak keluar dari kota kosmopolitan Kuala Lumpur - yang penuh sesak dengan jalan-jalan berlubang dan sudah kurang serinya lagi, saya mengambil keputusan bercuti ke Melaka hujung minggu lalu.

Ke Melaka dengan memandu secara santai hanya memakan masa kira-kira sejam setengah. Tidaklah hebat sangat mengambil keputusan bercuti bersama keluarga ke negeri itu. Kali terakhir saya ke Melaka ialah kira-kira empat tahun lalu. Apa yang istimewanya Melaka? Tiada istimewa pun - asyik-asyik Kota A‘Farmosa, panjat Bukit St. Paul dan berjalan ke bangunan rumah kedai bercat merah di Jonker Walk menghala ke The Stadthuys. Di tepinya ialah Sungai Melaka yang mengalir lesu dan berbau tengit. Di sepanjang sungai itu berderetan bontot kedai-kedai lama Cina yang hodoh, kotor dan tiada apa yang istimewa pun.

Petang Jumaat lalu, dari rumah saya di Shah Alam, saya mengambil lebuh raya PLUS dan memasuki ke tol Alor Gajah. Sampai di bandar Alor Gajah pada kira-kira pukul 8 malam, saya teruja melihat bangunan rumah kedai di pekan itu dipasang dengan jaluran lampu yang mengikuti bentuk bangunan itu. Pokok-pokok di tepi-tepi jalanan diselaputi neon-neon. Terdetik di hati, cantiknya. Pertama kali saya sampai ke situ pada waktu malam.

Sampai di Tanjung Kling, saya daftar masuk ke sebuah pusat peranginan menghadap Selat Melaka di Pantai Klebang dan bermulalah percutian saya di negeri Hang Tuah yang dibuka oleh Parameswara pada sekitar 1400 Masihi.

Melaka bagi saya bukan seperti empat tahun lalu. Ia sudah berubah. Tergerak di hati saya untuk menulis di ruangan ini kerana Melaka telah berubah. Ia berubah 360 darjah daripada beberapa tahun lalu.

Nampaknya semua orang buat kerja - kerja keras. Dari atas sampai ke bawah, dari orang atasan sampai ke orang bawahan semuanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Melaka. Orang Melaka sangat berbangga dengan negeri mereka.

Kampung-kampungnya tersusun rapi dan tiada semak samun dan belukar yang menyakitkan mata seperti di negeri-negeri lain. Terus terang saya katakan Melaka lain dari negeri-negeri lain. Semuanya tersusun.

Layak saya takrifkan, Melaka ialah negeri termaju dalam lingkungan negeri-negeri di Malaysia yang masih lagi ketinggalan. Tidak hairanlah Melaka berani meletakkan motonya sebagai Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia.

Sepanjang jalan di Melaka dari Alor Gajah hingga ke Banda Hilir dan ke Air Keroh saya kagum melihat tiada sampah sarap bersepah yang menyakitkan mata, atau jalan-jalan berlubang yang banyak di Kuala Lumpur. Tiada tanda-tanda jalan yang mengelirukan. Semuanya sempurna.

Pada malam Sabtu, buat pertama kalinya saya menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot dari jeti di Dataran Quayside. Kawasan itu telah melalui transformasi yang amat menakjubkan. Gudang-gudang lama di situ telah diubah moden. Kesan-kesan kota lama yang diekskavasi dipelihara dengan baik.

Terpesona saya menyusuri sungai yang mengambil masa pergi balik selama 45 minit. Saya berasa seperti bukan berada di Malaysia, tapi di mana-mana di negara maju lain. Lampu-lampu berwarna-warni diperkayakan di sepanjang perjalanan itu. Sampai di satu tempat bot memperlahankan kelajuan bagi menyaksikan pertunjukan air pancut menari di tepi tebing sungai itu. Terlalu unik melihat rumah-rumah Melayu dihiasi cahaya lampu, yang bilnya ditanggung oleh kerajaan. Bagi saya apa yang dilakukan ini bukan membazir, tapi dibayar balik oleh pendapatan industri pelancongannya yang hebat.

Pak Hassan, pemandu bot kami bercerita mengenai kisah-kisah bangunan lama dan beliau mengimbau kami ke zaman silam Melaka yang terlalu kaya sejarahnya. Dari pokok Melaka di tepi sungai kepada projek membawa roda feri Eye of Malaysia dari Taman Tasik Titiwangsa, Menara Taming Sari yang menjadi tarikan terbaru hinggalah kepada pokok bakau yang dipelihara, yang pada siang harinya kita boleh melihat biawak makan - makanan yang turut dibiayai oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong, sambil memandu bot pelancong ala di Sungai St. Antonio, Amerika Syarikat itu bercerita bagaimana kerajaan negeri akan mengubah bahagian belakang bangunan rumah kedai itu menjadi bahagian hadapan menghadap ke muka sungai. Di tepi sungai itu akan dijadikan pejalan kaki dan kafe-kafe seperti yang terdapat di Venice. Tiang-tiang untuk projek monorel telah pun dibina. Kampung Jawa, katanya yang kelihatan usang akan diambil alih dan dimajukan oleh saudagar dari Arab.

Membandingkan empat tahun lalu dengan apa yang ada hari ini, saya percaya semua kata-kata Pak Hassan itu. Apa yang beliau katakan itu akan menjadi kenyataan.

Beliau juga tidak lokek apabila membawa kami hingga ke kunci air yang dibina, bagi menunjukkan bagaimana sungai itu sentiasa dipenuhi air walaupun pada waktu air surut. Sebahagian daripada sungai itu ialah buatan manusia. Pada satu-satu masa, paras air sungai ialah pada ketinggian 14 kaki, cukup tinggi untuk aktiviti pelancongan air yang aktif dijalankan di sungai itu. Di tebing sungai seberang dari jeti Quayside, projek pembinaan hotel lima bintang sedang rancak dijalankan.

Terlalu bernilai cerita-cerita yang disampaikan oleh Pak Hassan, pesara kakitangan Jabatan Perikanan Klang itu. Perjalanan menyusuri sungai itu terlalu berbaloi dengan harga tambang RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. “Letih tapi seronok, hari ini saja saya dah bawa lebih 15 trip,” katanya puas.

Keesokan hari (Ahad) sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami sekali lagi singgah di Banda Hilir dan melawat beberapa tempat lazim di situ. Ternyata semuanya amat memuaskan. Bersih sungguh. Tindakan kerajaan Melaka membangunkan Dataran Pahlawan, misalnya amat bijak sekali. Di atasnya ialah padang yang bersejarah itu, di bawah ialah bazar dan mall perniagaan. Perlu direkod di sini, hanya dua perkara yang sedikit menghampakan. Pertama, kesesakan trafik di tengah bandar raya. Dan kedua, harga makanan di restoran kampung Melayu yang terlalu ‘mencekik darah’ - walaupun asam pedasnya memang sedap.

Selain itu, ternyata pentadbiran Melaka berjaya mengubah sebuah negeri itu menjadi pusat tarikan pelancongan yang berjaya. Pembangunan Melaka yang asalnya dimulakan oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik, kini dirancakkan oleh ketua menteri yang kreatif dan inovatif, Datuk Ali Rustam.

Kita syorkan para pentadbir negeri, perancang bandar yang terlalu kerap ke luar negara untuk melihat negara orang, melakukan lawatan sambil belajar ke Melaka. Contohilah pengurusan taman dan sampahnya yang dilihat terlalu tersusun. Perancangan infrastruktur pelancongannya yang begitu sistematik.

Jika Melaka boleh mengapa Kuala Lumpur tidak boleh? Mengapa Sungai Klang dibiarkan lesu dan kotor sedangkan ia boleh dijadikan laluan river cruise dari KL ke bandar diraja Klang; sama seperti yang berlaku di Sungai Melaka? Mengapa Padang Kota Lama di Pulau Pinang terlalu membosankan - dengan gerai mee sotong di tepinya masih daif sama seperti puluhan tahun lalu? Mengapa Pasar Siti Khatijah di Kota Bharu yang diberi nama Bandar Raya Islam terlalu kotor dengan tikus-tikus mondok yang menjijikkan?

Melaka tidak cainnotophobia (disebut: kain no to fobia). Pemimpinnya tidak takut atau fobia kepada pembaharuan atau tidak takut mencipta sesuatu yang baru.

Tidak perlu menamakan ia sebagai Islam atau tidak, atau pun ditadbir oleh seorang ulama atau tidak. Ia semuanya datang dari seorang pemimpin yang berfikiran kreatif dan mahu melihat kecantikan untuk membangunkan negerinya.

Walaupun Melaka sebuah negeri kecil, tapi hati orangnya waja. Syabas Melaka!


Artikel menarik ini dipetik dari laman web Utusan Online

May 26, 2009

Roti Nan & Ayam Tandoori Pak Putra

Seperti tajuk diatas, kali ini saya ingin berkongsi mengenai restoran Pak Putra yang begitu terkenal dengan keenakkan roti nan dan ayam tandoorinya.

Walaupun makan tersebut bukanlah makan yang berasal dari negeri Melaka, saya cadangkan supaya anda mencubanya. Disini saya boleh katakan ianya adalah yang terbaik yang pernah saya cuba.

Restoran Pak Putra terletak di Kota Laksamana dan beroperasi pada jam 5.30pm - 1.00am setiap hari kecuali hari Isnin.

*akan dikemas kini kemudian




chicken tandoori

mutton roganjosh

cheese nan

chesee nan & mutton roganjosh

Tarikan baru di Melaka - Air Pancut Berirama

Melaka mempunyai satu lagi tarikan baru dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong iaitu Air Pancut Berirama yang terletak berdekatan Jalan Munshi Abdullah dan juga Jambatan Hang Tuah.

Waktu operasi Air Pancut Berirama tersebut ialah :

Jumaat, Sabtu : 3.00 petang - 7.00 malam
Ahad, Cuti Umum : 9.00 malam - 12.00 malam

Kewujudan Air Pancut Berirama ini berjaya menjadikan tebing sungai Melaka lebih ceria dan 'hidup' terutamanya pada watu malam.

Bagi penumpang bot river cruise, Air Pancut Berirama ini mungkin menjadi salah satu spot untuk bergambar ketika bot melaluinya.




lokasi Air Pancut Berirama pada anak panah merah. (klik pada gambar untuk besarkan)

Apr 12, 2009

Melaka River Cruise

Sungai Melaka merupakan nadi penggerak perdagangan Melaka sewaktu zaman kegemilangannya dan ketika itu sungai ini padat dengan kapal pedagang dari serata dunia.

Ada di antara bangunan-bangunan yang di bina di zaman tersebut yang masih berdiri kukuh hingga ke hari ini. Di tepi sungai juga dibarisi dengan perkampungan lama dan bangunan-bangunan moden.

Bagi yang berminat untuk menikmati keindahan Sungai Melaka, anda boleh menyusuri sungai tersebut dengan menggunakan Melaka River Cruise. Perjalanan menyusuri sungai sejauh sembilan kilometer ini memakan masa selama 45 minit dan pasti akan menghiburkan para pelawat sambil diberi penerangan*.

Aktiviti ini perlu dimasukkan di dalam itinerari pelancongan anda jika ke Melaka. Harga tiket bagi setiap dewasa ialah RM10 dan RM5 bagi kanak-kanak. Walaubagaimanapun, kerajaan negeri Melaka menawarkan potongan 50 peratus harga tiket beberapa produk pelancongannya termasuk tambang bot menyusuri Sungai Melaka, Melaka River Cruise untuk setiap hari Isnin hingga Khamis.

Lokasi untuk membeli tiket dan menaiki bot ini berada di dua tempat iaitu Taman Rempah dan Banda hilir (berdekatan Muzium Samudera).

Lihatlah kawasan-kawasan bersejarah di bandar Melaka sambil mempelajari tentang sejarah Melaka tanpa perlu berpeluh berjalan kaki!

*hanya bot-bot yang tertentu





salah satu daripada 7 jambatan merentasi Sungai Melaka


pemandangan indah Sungai Melaka

melalui Kampung Morten

menikmati simbahan cahaya lampu pada waktu malam

Mar 23, 2009

Asam Pedas Perhentian Kuih Kampung

Kalau anda ke Melaka, semestinya anda tahu yang makanan wajib akan dicuba adalah asam pedas. Tetapi dalam banyak-banyak asam pedas yang terdapat di Melaka, saya cadangkan anda supaya mencuba asam pedas di Perhentian Kuih Kampung yang terletak di Ujong Pasir.

Hidangan asam pedas disini disediakan dalam bentuk set yang disertakan nasi putih, telur masin dan sayur taugeh. Terdapat beberapa jenis ikan bagi masakan asam pedas iaitu ikan kembong, tenggiri, parang, jenak, kepala jenak, pari, telur ikan dan juga tetel (daging dengan lemak).

Bagi saya, asam pedas disini tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair dan itu membuatkan ia boleh dinikmati oleh semua golongan. Dengan menggunakan ikan segar, semestinya anda dapat merasai keenakkan tidak terhingga dalam hidangan asam pedas yang disediakan.

Harga bagi setiap hidangan bergantung kepada jenis ikan diminta. Disini juga menjadi tumpuan bagi pengemar kuih-muih kerana terdapat lebih dari 10 jenis kuih dijual.





terletak disebelah Jalan Ujong Pasir

pelbagai jenis kuih juga boleh didapati disini



nasi putih, telur masin dan sayur taugeh

asam pedas ikan tenggiri

Mar 20, 2009

Menara Taming Sari

Menara setinggi 110 meter dan dibina dengan kos sebanyak RM23 juta ini merupakan salah satu mercu tanda pelancongan yang terdapat di negeri Melaka.

Mampu memuatkan sehingga 80 orang dan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 11 malam dengan harga tiket dewasa RM20 (pemegang MyKad RM 10) dan kanak-kanak RM10 (MyKad RM 5).

Menara tersebut dibina menggunakan kepakaran Switzerland mampu mengangkut seramai 240 penumpang dalam tempoh sejam. Berkonsepkan terbuka di mana pelantar yang membawa penumpang berada di bahagian luar dan akan naik serta berputar selama lima minit di bahagian puncak sebelum turun semula.Dengan demikian, para penumpang akan dapat menikmati pemandangan 360 darjah di sekeliling mereka.

Menara ini terletak di kawasan Taman Bunga Merdeka, Banda Hilir iaitu didalam lingkungan kawasan pelancongan dengan jarak hanya berjalan kaki.






pemandangan dari atas Menara Taming Sari


turut beroperasi pada waktu malam



Mar 18, 2009

Jus Mangga Kampung Portugis

Perkampungan Portugis di Ujong Pasir, Melaka sememangnya terkenal kepada pelancong kerana menjadi medan kebudayaan selain pusat makanan tradisional masyarakat Portugis Malaysia

Namun, ada satu lagi keistimewaan yang mampu menarik pengunjung ke sini iaitu populariti jus mangga yang dijual Joseph De Costa.

Mula menjual jus mangga segar sejak enam tahun lalu, Joseph, 64, berkata, rahsia keenakan jus mangga terletak pada pemilihan buah.

"Saya menggunakan pelbagai jenis mangga untuk menghasilkan satu cawan jus yang kemudian dicampur dengan sebiji jeruk asam," katanya ketika ditemui.

Beliau menggunakan hampir 40 kilogram mangga setiap hari, namun jumlah itu masih belum mencukupi.

"Bukan saja pengunjung dari Melaka yang datang membeli, malah dari Kedah, Johor dan Singapura pun sanggup menelefon untuk membuat tempahan," katanya.

Jus itu dijual RM2.50 secawan. Kepada yang berhajat untuk membeli dalam kuantiti yang banyak, bolehlah menghubungi Joseph terlebih dahulu bagi membuat tempahan.

Joseph De Costa / 6012-6970025



gerai jus mangga tersebut terletak di Medan selera Kampung Portugis



antara bahan utama yang digunakan

Joseph menyediakan jus mangga kepada pelanggannya

Jus mangga Kampung Portugis

"Only One Mango Juice"

*Jus mangga ini mempunyai kelazatan yang tersendiri. Saya mencadangkan 100% supaya anda mencubanya!!

Mar 8, 2009

Belacan Melaka

Sejak 20 tahun lalu, nama pantai Klebang, di sini seolah-olah sudah sinonim di kalangan pelancong dan masyarakat tempatan sebagai pusat penjualan cencaluk dan belacan, iaitu makanan tradisional Melaka yang terkenal.

Kewujudan lebih 16 gerai menjual cencaluk dan belacan bermula di Klebang Besar sehingga Tanjung Kling itu menjadikan produk tersebut sebagai bahan makanan yang 'mesti beli' sekiranya berkunjung ke kawasan itu. Jika anda ke Melaka, berkunjunglah ke pantai Klebang dan pastikan belacan Melaka dibawa pulang bersama.





belacan diperbuat daripada sejenis udang kecil yang dipanggil udang geragau

Mar 7, 2009

Berita terkini pelancongan : Teksi air tarikan terbaru Sungai Melaka

Teksi air tarikan terbaru Sungai Melaka

MELAKA 6 Mac – Penduduk Melaka termasuk pelawat luar yang datang berkunjung ke negeri ini akan menikmati kemudahan pengangkutan unik dan terbaru di Sungai Melaka apabila perkhidmatan teksi air akan beroperasi tidak lama lagi.

Perkhidmatan teksi air tersebut akan disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai negeri yang bertanggungjawab mengurus serta mentadbir perkhidmatan bot Melaka River Cruise di sungai berkenaan.

Pegawai Eksekutifnya, Baharom Majid berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan membeli sebuah teksi air yang akan beroperasi di sepanjang Sungai Melaka bermula dari Melaka Sentral hingga ke Bandar Hilir.

Menurutnya, melalui kemudahan baru itu, pihaknya berharap Sungai Melaka terus mendapat tumpuan dan menjadi salah satu destinasi utama di kalangan para pelancong asing yang datang berkunjung ke negeri ini pada setiap tahun.

‘‘Usaha memperkenalkan perkhidmatan teksi air ini bakal menjadi produk pelancongan terbaru untuk Sungai Melaka, sekali gus memperkenalkan keunikannya kepada pelancong asing,” katanya di sini hari ini.

Pada tahun ini, agensi terbabit menyasarkan kira-kira 1.8 juta pengunjung akan menaiki bot tersebut berbanding 600,000 pada tahun lepas.

Kata beliau, usaha mendapatkan lebih banyak teksi air akan dilaksanakan jika sambutan orang ramai terhadap kemudahan baru itu memberangsangkan.

‘‘Kita akan menambah teksi air tersebut dari semasa ke semasa jika menerima sambutan baik memandangkan ia merupakan pengangkutan air yang lebih laju berbanding bot Melaka River Cruise,” jelasnya lagi.

Menurut Baharom, melalui usaha itu, orang ramai kini mempunyai alternatif pengangkutan lain terutama bagi laluan dari Melaka Sentral ke Banda Hilir atau sekitar kawasan pusat bandar.

Pada masa sama, bagi mereka yang berminat untuk melihat wajah baru dan keunikan panorama senja di Sungai Melaka, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan bot Melaka River Cruise.

Katanya, dalam usaha memperindahkan lagi kawasan persekitaran Sungai Melaka, pihaknya dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan dan masyarakat turut sama memperhebatkan kempen kebersihan serta program gotong-royong di sepanjang sungai tersebut.

Berita dari UTUSAN MALAYSIA

Masjid Tengkera

Masjid kedua tertua di Melaka adalah Masjid Tengkera yang terletak di sebelah kanan Jalan Tengkera yang namanya diambil bersempena dengan nama mukim Tenquerah oleh pemerintahan Portugis di Melaka.

Bangunan asalnya dipercayai dibina sekitar tahun 1750-an dan telah dibaiki pada tahun 1850-an. Masjid ini bercirikan seni bina tradisional Melaka dan campuran seni bina Sumatera dan China.

Masjid ini mempunyai sedikit kelainan kerana mempunyai tiga lapisan bumbung iaitu bumbung beranda, bumbung ruang sembahyang dan bumbung kubah.

Di bahagian hadapan masjid ini dipagari dengan tembok batu yang dihias kekisi porselin manakala pintu gerbangnya dihiasi dengan ukiran tulisan khat dan bumbungnya berbentuk seperti pagoda.

Terdapat juga sebuah menara batu yang mempunyai bumbung tanah liat berkeliling pada bahagian bawahnya. Satu lagi masjid tertua di negeri ini adalah Masjid Peringgit.

Pada asalnya ia dibina di Bukit Peringgit pada tahun 1726, tetapi ia telah musnah akibat perlaku peperangan. Kemudiannya ia telah dibina semula pada 1868 di tempat yang sama.

Masjid ini unik kerana berbentuk empat segi ,manakala bahan binaannya terdiri daripada batu laterit dan batu-bata terra cotta yang wujud pada zaman Belanda sebagai asas dan dinding.

Pada 1978, kerajaan negeri telah membuat kerja-kerja penambahan pada bahagian belakang masjid dengan binaan konkrit yang melenyapkan tangga utama, perigi dan kolam.